Azlina Bujang

Siapapun anda jadilah sumber inspirasi kepada wanita lain agar mereka juga berjaya seperti anda

Walaupun sibuk dengan tugasan harian sebagai seorang penjawat awan di salah sebuah IPTA dan dalam masa yang sama menjadi seorang ibu, namun ianya tidak mematahkan semangat menghalang minat saya untuk terlibat secara aktif sebagai penceramah, motivator dan fasilitator untuk projek yang melibatkan komuniti di peringkat mahasiswa IPTA dan sekolah- sekolah di sekitar bandar Kuching, Sarawak dan juga Samarahan berkaitan dengan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), modul Asas kepimpinan, pengucapan awam dan skop projek memperkasakan wanita.
Dengan terlibat secara aktif dengan beberapa persatuan Wanita NGO yang terdapat di bumi kenyalang ini telah memberikan banyak pengalaman dan membuka mata saya untuk lebih mendampingi mereka yang memberi inspirasi dan tidak lupa juga mereka yang memerlukan bantuan seperti kanak- kanak yang tercicir dalam pelajaran, anak yatim, ibu tunggal, OKU dan sebagainya. Pelbagai aktiviti menarik yang turut disertai dan dianjurkan bukan hanya dalam pendidikan dan latihan malah program larian untuk mengumpul dana bagi menampung program – program bercorak kebajikan.
Tahun 2015 sehingga 2017 telah memberikan banyak kenangan dan menyaksikan kehidupan dalam pelbagai dimensi, bekerja dan dalam masa yang sama menyambung pelajaran secara separuh masa amat menguji ketahanan fizikal dan emosi namun Alhamdullilah semuanya telah berlalu dengan pelbagai liku - liku cabaran yang telah dilalui dengan berbekalkan doa daripada kedua ibubapa, suami dan keluarga. Diakui, bukan mudah untuk kaum wanita yang bertindak selaku isteri, ibu dan wanita bekerjaya untuk mendepani arus perdana pembangunan globalisasi yang penuh dengan liku-liku cabaran.
Berpegang pada kata- kata ini - Tidak kira sejauh mana kejayaan anda berbanding orang lain, kita mesti sentiasa mempunyai rasa kesyukuran dan merendah diri, siapapun anda jadilah sumber inspirasi kepada wanita lain agar mereka juga berjaya seperti anda. ~Allah is the best of planners~When it rains look for rainbows, when its dark look for stars~.
Azlina Bujang