Ia bermula sejak 30 tahun yang lalu.

Salam semua,

Pertama sekali saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan pameran ini. Hari ini saya telah pun ke Sunway Pyramid melawat ke tapak pameran pagi tadi.

Nama saya Dicky Ishkandar bin Abdul Rani, berusia 37 tahun dan telah berumahtangga selama 5 tahun. Kisah saya merupakan satu pengalaman buat semua untuk direnungi dan dikongsi bersama.

Kini saya merupakan pelukis bebas bersama isteri saya. Tetapi bukan itu yang merupakan intipati atau tujuan utama yang hendak disampaikan kepada semua.

Ia bermula sejak 30 tahun yang lalu, ketika kali pertama menghidap penyakit epilepsi (sawan) buat kali pertama dalam hidup saya yang mana sehingga kini belum sembuh lagi. Setelah menghidap penyakit sawan boleh dikatakan semua aktiviti kehidupan saya tidak lagi menjadi normal seperti kanak-kanak dan dewasa lain. Segala yang saya ceburi terpaksa dihentikan atas dasar keselamatan dan kesihatan. Taekwando, pengakap, sukan sekolah dan sosial bersama teman-teman pun tersekat. Saya telah menjadi kanak-kanak yang murung dan menyendiri sehingga ke alam remaja. Malahan saya sering dikaitkan dengan budak/pelajar pelik di sekolah dan penagih dadah di kolej kerana keadaan badan yang kurus pada suatu ketika dulu. Pelbagai tohmahan dan pandangan negatif sering melanda diri dari pelbagai aspek.

Kemurungan (depression) menjadi masalah dalam hidup dimana saya menjadi insan segan dan hidup dalam dunia yang tersendiri. Tapi disebabkan saya minat melukis, disitulah saya mengambil peluang melepaskan perasaan dan emosi saya melalui lukisan. Tetapi tiada siapa yang ambil peduli dengan minat saya kerana seni bukan merupakan aliran yang boleh menjamin masa depan seperti yang diluahkan oleh kedua-dua orang tua saya. Setiap kali saya dalam kesedihan, hanya dengan melukis dapat menggambarkan emosi, perasaan dan jiwa saya ketika itu.

Keadaan ini berlaku sehingga ke hari ini. Tetapi sejak berkahwin, atas sokongan dari isteri yang mana juga merupakan seorang pelukis illustrasi dan juga pelukis komik, sedikit demi sedikit dapat mengubah jiwa saya menjadi lebih tenang. Kini, saya terus berusaha dengan menghasilkan karya seni tidak kira sama ada hasil saya untuk dijual atau koleksi peribadi . Ia bertujuan untuk menimba pengalaman dan keyakinan diri supaya tidak gentar menerima pandangan dan kritikan orang lain walaupun seburuk mana sekalipun hasil karya saya.

Oleh yang demikian, kepada sesiapa sahaja yang menghadapi masalah atau rintangan seperti saya, janganlah mudah berputus asa apabila sesuatu yang dijalankan/dihasilkan menemui kegagalan. Walaupun mungkin hasil kerja saya tak mendapat tempat di hati sesiapa, yang pentingnya ia membebaskan diri saya dari belenggu kemurungan dan percayalah kata-kata saya, anda tak akan tahu kebolehan anda jika anda tidak mencubanya. Bagaimana anda nak berjaya jika anda tidak menemui kesalahan anda sendiri untuk diperbetulkan. Orang lain hanya dapat membantu dan memberi inspirasi kepada anda tapi mereka tak dapat membantu meluahkan anugerah anda yang terpendam dalam diri anda. Hanya anda yang mempunyai kuncinya. Betul kuncinya, terbukalah pintu-pintu hikmah kejayaan anda. Jadi carilah kunci-kunci itu mulai sekarang, lupakan fikiran negatif, hasutan, dengki dan irihati kerana ini semua yang menjatuhkan anda kelak.

Akhir kata, sebelum saya mengundur diri, saya pohon maaf jika ada tersalah kata. Jika peristiwa sebegini terbabit dengan sesiapa, anggaplah ini sebagai nasihat dan bukannya sindiran bersahaja. Jangan berasa segan untuk melawat facebook saya dengan menaip Dicky Ishkandar atau dkey78@gmail.com. Mungkin saya dapat membantu anda yang kini terperangkap dalam situasi sedemikian. Malah banyak lagi kita boleh kongsi masalah demi kebaikan bersama.
Dicky Ishkandar