Fahrin  Ahmad

Selamt Hari Raya!

SELAMAT HARI RAYA!!! MAAF ZAHIR DAN BATIN...
Hari Raya adalah hari untuk kita meraikan, hari untuk kita berkumpul, dan berkunjung bertemu bersama ahli kekuarga, sanak saudara dan sahabat handai yang tercinta. Kita akan berkunjung dan bertemu insan yang jauh dari kita, mungkin juga ataupun insan yang dah lama kita tidak bertemu berjumpa. Hari ini kita akan berkumpul untuk saling bermaaf-maafan manakala si kecil pula pastinya tak sabar-sabar nak mengira duit raya.

Pastinya pelbagai kenangan manis yang terlintas di fikiran kita setiap kali hari raya dan pelbagai detik-detik manis yang kita rakam untuk masa sekarang. Kita harus ingat bahawa masa yang berlalu tidak akan kembali. dan Oleh kerana itulah setiap detik masa yang ada harus dihargai sebaik-baiknya agar menjadi kenangan manis sepanjang hayat.

Banyak perkara yang saya rindui setiap kali hari raya, terutamanya apabila arwah nenek masih hidup dan para sepupu masih kecil dan remaja. Kami semua akan berkumpul di rumah nenek di Parit Sulong, Johor. Rumah nenek adalah rumah papan yang sememangnya rumah kampung klasik yang besar. Jadi bayangkanlah betapa meriahnya berpuluh-puluh sepupu berkumpul di bawah satu bumbung, bermain, bercerita dan bergelak ketawa. Tatkala malam telah tiba, cahaya bunga-bunga api dan letupan mercun menerangi kegelapan malam itu. Kini, kami masing-masing sudah berkeluarga dan yang jelas babak-babak yang saya ceritakan di atas hanya tinggal sebagai sebuah kenangan. Kenangan yang amat saya hargai dan ia akan menjadi bekal untuk diceritakan kepada anak-anak.

Bercakap pasal makanan, saya memang sentiasa mengidam laksa johor, lontong, kuah lodeh dan sambal goreng masakan ibu di hari raya. Setiap kali ibu memasak, saya dan adik-beradik serta ayah tidak akan pernah jemu memuji ibu dan kami untuk pastikan ibu akan terasa dihargai. Kini, keupayaan ibu agak terbatas disebabkan oleh umur yang kerana semakin tua, juga badan yang tidak sihat serta berkerusi roda. Kami sekeluarga mahu beliau lebih banyak berehat walaupun kami tahu jauh di sudut hatinya, ibu memang teringin sangat memasak untuk anak-anak dan cucu. Tidak kira apa pun bagi saya, pastinya ibulah chef terhebat bagi saya sehingga hari ini. dan Saya bersyukur kerana saya sempat dan tidak pernah lokek memuji dan menghargai usaha ibu.

Hari Raya tahun ini buat pertama kalinya saya dan kami sekeluarga berhari raya tanpa abang sulung yang tersayang. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada tahun lepas seawal usia 44 tahun. Malah, tahun lepas beliau juga tidak sempat bersama kami di hari raya kerana komitmen kerja. Kini, setiap detik masa bersama beliau, membesar bersama beliau dan ada pastinya ketika bertelingkah serta berselisih faham pula menjadi kenangan pahit manis. Mujur sepanjang hayatnya, banyak kenangan yang saya rakam untuk dihargai sampai bila-bila. Al Fatihah buat kekandaku Nizam Ahmad semoga engkau tenang di sana.

Menulis dan Membaca kenangan dan kisah yang saya tulis di atas di hari raya ini, saya berharap untuk semua hargailah setiap detik masa bersama orang tersayang di hari raya ini, rakamlah setiap detik manis agar menjadi kenangan yang berkekalan dan hargainya. Jangan membazir masa dan bagi emosi bermasam muka dan berdendam. Senyumlah, bergelak ketawa, saling memuji dan saling memaafkan kerana masa yang berlalu dan juga insan yang pergi tidak akan kembali. Jadilah insan yang positif dan menghargai segala tanpa jemu.

SELAMAT HARI RAYA dari saya... FAHRIN AHMAD.
Fahrin Ahmad