Penghargaan.

Di dalam kehidupan, fitrah sebagai manusia kita ingin dihargai tetapi ada kalanya kita terlupa untuk menghargai. Menghargai seseorang boleh berlaku dan dilakukan dengan pelbagai cara. Sekecil-kecil penghargaan dengan senyuman manis, dengan pemberian, perbuatan mahupun ungkapan kata-kata yang ikhlas. Bagi diri saya, saya mempercayai jika kita ingin dihargai, kita haruslah juga menghargai orang lain dan rasa bersyukur.

Yang paling jelas dan paling utama, kita sebagai anak patut menghargai ibu bapa yang membesarkan kita selama ini. Selain itu, kita juga patut menghargai adik-beradik yang mungkin pada hakikat luarannya kita selalu berselisih apabila ada perbezaan pendapat, berkelahi, memberontak, tetapi yang pasti limpahan kasih sayang tidak pernah putus dan merekalah yang menjadikan saya manusia yang matang.

Seterusnya, yang menarik adalah untuk mencari, mengingati insan-insan yang mungkin kita terlupa untuk menghargai atau mungkin juga kita sangat menghargai tetapi tidak berpeluang untuk mengungkapkan. Mujur dan syukur adanya kempen “The Best of You” ini menjadikan platform kepada saya untuk mengenang kembali insan-insan yang sangat dan patut saya ungkapkan penghargaan sepanjang kehidupan ini.

Setiap guru-guru dan mereka yang mencurah ilmu, setiap sahabat dan mungkin juga 'musuh' (bukan dalam erti kata yang negatif tetapi mereka yang pernah bersilisih dan berbeza pendapat). Saya ucapkan terima kasih kerana kalian, saya menjadi manusia yang matang dan berfikiran kritis. Sebagai juga seorang selebriti, penghargaan saya yang tidak terhingga dan pasti tidak mampu dibalas adalah kepada kesemua peminat-peminat saya dari setiap lapisan umur dan bangsa, kanak-kanak, remaja, tua muda, pakcik dan makcik, Melayu, India mahupun Cina. Saya sangat terharu dengan setiap doa dan sokongan mereka. Pastinya saya tidak mampu untuk bersemuka satu persatu untuk mengukir senyuman dan mengucapkan terima kasih, tapi ketahuilah jauh di sudut hati saya, saya amat menghargai anda semua.

Tidak dilupakan, penhargaan yang tidak ada sudahnya kepada pelengkap hidup saya, elena hani eleas, seorang isteri yang matang, bijaksana, memahami dan menjadi sumber semangat serta inspirasi saya. Walau dikumpul setiap kata-kata indah dan metafora untuk menggambarkan betapa saya menghargai beliau... tidak akan pernah memadai. Tapi itulah hakikat betapa saya menghargai kehadirannya.

Seperti yang saya katakan, penghargaan dan menghargai, mungkin kita ingat, mungkin kita lupa, atau mungkin juga kita terlalu malu dan segan untuk menyatakan dan saya yakin ramai juga yang mungkin tidak sedar keegoan yang menghalang. Tidak akan pernah rugi dan luak apa pun, dengan menghargai dan menyatakan penghargaan. Sekecil seukir senyuman manis, selafaz kata-kata… sebaris ayat yang tertulis… AKU MENGHARGAIMU…
Penghargaan yang tiada penghujungnya dariku,
FAHRIN AHMAD.

Jom share dgn saya kisah anda dan hantar kepada http://www.the-best-of-you.com supaya dapat menjadi inspirasi kepada yang lain.

Boleh juga lawati facebook - The Best Of You - Julies's dan instagram @juliesthebestofyou
Fahrin Ahmad