Marsiyem

Kedua-dua anak saya adalah semangat dan harapan saya. Inilah yang terbaik dari saya.

Alhamdulillah syukur kepada tuhan, anak kedua saya selamat dilahirkan pada February 2005. Tapi anak kedua saya tidak sama seperti anak orang lain. Anak saya agak lambat untuk mula berjalan. Anak orang lain yang seusia dengan anak saya mungkin sudah boleh berlari. Namun bukan nasib anak saya yang masih belum mampu bertatih.

Tapi saya tidak pernah berputus asa kerana dia satu-satunya anak lelaki yang saya ada. Antara usaha yang telah saya lakukan adalah melatih dia berjalan tiap-tiap hari, menghantar dia ke pakar urut dan berusaha memberi terapi kepadanya. Namun begitu tidak bagi suami saya, dalam saya berusaha untuk anak saya, suami saya berputus asa dan membuat keputusan untuk meninggalkan kami. Oleh itu, dalam bahagia dan sedih hanya kami bertiga mengharungi bersama. Akhirnya berkat usaha saya, anak saya berjaya berjalan dalam usia 30 bulan. Gembira tak terkata apabila dapat melihat dia berjalan sendiri tanpa perlu dipimpin.

Oleh itu, demi kedua-dua anak saya dan sokongan emak bapak, saya telah merantau ke Malaysia untuk mencari wang bagi membiayai persekolahan anak saya. Alhamdulillah, segala penat lelah yang saya hadapi dengan sabar dan ikhlas berjaya menyekolahkan anak sulung saya sampai tamat SMA dan sekarang bekerja di kedai perabot di Bandar kami. Sekarang anak kedua saya baru berusia darjah tiga dan bagi saya masih panjang lagi tanggunjawab saya untuk kedua anak-anak saya. Saya berusaha sabar menghadapi cabaran dan dugaan selama saya bekerja di kilang ini.

Kedua-dua anak saya adalah semangat dan harapan saya. Inilah yang terbaik dari saya. Bagaimana anda?
Marsiyem