Napsiah

Puteri di hatiku.

PUTERI DI HATIKU

Nama saya Napsiah. Ada rakan-rakan sekerja yang memanggil saya Kak N tapi saya tak kisah sangat dengan semua itu. Saya bekerja di sebuah kilang biskut selama dua puluh satu tahun. Sepanjang saya berkhidmat di sana, banyak pengalaman yang saya dapati. Daripada seorang yang langsung tidak reti menggunakan komputer sehinggalah saya pandai menggunakannya. Jawatan saya adalah sebagai seorang Inspektor QA. Saya mengaku bahawa sebagai seorang Inspektor QA memang banyak cabarannya. Kadang-kadang kami dipersalahkan tapi saya terimanya dengan hati yang terbuka kerana itu semua saya anggap sebagai dugaan Tuhan.

Sebagai seorang suri rumah pula, cabarannya lagilah besar. Pernah dalam suatu ketika saya hampir hendak meletakkan jawatan disebabkan masalah penjagaan anak. Demi mengukuhkan kedudukan kewangan kami sekeluarga dengan lima orang anak, saya terpaksa menghantar anak yang kelima untuk dijaga oleh kakak ipar saya di kampung. Namun sebulan sekali saya pasti akan balik ke kampung untuk melihat anak saya.

Pada tahun 2006, saya disahkan hamil anak yang ke-6. Allhamdulillah, itu rezeki dari Allah! Mula-mula saya berasa malu sebab dalam usia 39 tahun saya mengandung lagi. Tetapi saya memberitahu saya sendiri bahawa saya patut terima rezeki dari Allah ini dengan penuh kesyukuran. Setelah mengandung sembilan bulan, saya selamat melahirkan seorang puteri dengan cara pembedahan. Masa itu, doktor mengesahkan anak saya mengidap penyakit kuning. Tapi bagi saya, itu adalah biasa untuk bayi yang baru lahir. Apabila umur anak saya sembilan bulan, dia pula kerap mengalami demam panas dan sawan. Dan dari itu jugalah saya kerap mengambil cuti kerana terpaksa menjaga anak di hospital.

Sekarang anak bongsu saya telah berusia tujuh tahun. Beliau berada di dalam darjah satu. Setiap pagi saya akan menghantarnya ke sekolah sebelum saya ke tempat kerja. Itu adalah rutin harian saya setiap pagi. Akan tetapi pada pertengahan tahun persekolahan, anak saya mula menangis nak ikut saya balik setiap kali saya menghantarnya ke sekolah. Saya berasa hairan dengan sikap pelik anak saya itu sampai saya mengalirkan air mata apabila melihat beliau menangis. Setelah berjumpa dengan cikgu sekolah, saya diberitahu bahawa anak saya menghadapi masalah pembelajaran. Mula-mulanya cikgu menganggap anak saya “Autistic”. Setelah membuat rawatan susulan, anak saya disahkan mengalami penyakit Dyslexia. Akibat penyakit ini, anak saya susah untuk mengenal warna dan huruf. Kemudian doktor menyarankan supaya anak saya mengikuti cara kerja di hospital sebulan dua kali. Sebagai seorang ibu, saya memang tidak dapat terima semua ini pada mulanya tetapi itu semua ketentuan Allah. Tatkala melihat kanak-kanak lain riang bersama-sama teman mereka, terasa sedih melihat keadaan anak saya tetapi itu semua bukan penghalang untuk saya terus mendidik anak saya agar beliau dapat sampai ke menara gading. Kini, anak saya dimasukkan di dalam kelas Pendidikan Khas. Allhamdulillah anak saya tidak menangis lagi semasa pergi ke sekolah dan anak saya sudah mula boleh mengenal huruf. Setiap malam saya akan mengajarnya menulis walaupun dalam keadaan yang penat selepas bekerja. Kadang-kadang rasa mengantuk di tempat kerja sebab tidak cukup tidur. Namun, demi melihat anak saya yang bernama Putri Balqis berdikari, ibu sanggup berkorban apa saja untuk beliau berjaya di masa hadapan. Dialah pengubat rindu, dialah cinta hatiku, dialah segalanya.

Napsiah