Roslina

Semua hasil titik peluh kita pasti akan terlihat.

Saya Roslina Bte Abd Rashid, berasal dari Alor Gajah Melaka. Tahun ini, genap usia saya 38 tahun dan saya anak yang ketiga dari sembilan orang adik beradik. Teringat saya pada masa lalu, saya terpaksa menamatkan pelajaran sehingga tingkatan 3 sahaja kerana keluarga tidak mampu menampung pembiayaan sekolah saya. Oleh itu, saya terus mencari pekerjaan untuk membantu keluarga. Kerja pertama yang saya perolehi pada waktu itu adalah sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang yang menghasilkan pemetik api.Namun, saya hanya sempat bekerja selama 3 bulan sahaja kerana kilang tersebut terpaksa ditutup apabila mengalami kerugian yang banyak. Pada masa itu, had minimum umur untuk bekerja adalah 16 tahun. Saya terpaksa menganggur untuk beberapa bulan sebelum memohon bekerja di kilang Julies. Genap usia 16 tahun, saya terus memohon di kilang ini dan diterima untuk bekerja dengan gaji sehari RM 9.20.

Kemudian, saya bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga ketika berusia 23 tahun. Dikurniakan 5 orang anak tetapi anak saya yang pertama dan kedua meninngal dunia kerana lahir tidak cukup bulan. Tuhan saja tahu betapa sedihnya saya apabila kehilangan dua anak berturut-turut. Namun, saya tetap kuatkan semangat untuk teruskan hidup dan bekerja demi keluarga. Tahun ini, sudah genap 22 tahun saya berkhidmat untuk kilang ini. Banyak pengalaman suka dan duka saya perolehi. Dari bermula sebagai pekerja biasa kemudian menjadi Machine Operatot, Leader, Supervisor dan sekarang Alhamdulillah berjaya mendapat jawatan yang tidak pernah saya fikirkan kerana pelajaran saya yang tidak tinggi.

Teringat masa saya mula-mula bekerja di kilang, ada yang mempertikaikan kenapa saya berhenti belajar dan hanya bekerja di kilang. Malah ada juga yang berkata boleh ke hidup senang jika saya terus kerja dikilang. Saya tidak terfikir pun untuk mencari pekerjaan lain pada masa itu kerana saya percaya urusan rezeki semua bergantung pada tuhan. Saya hanya mampu bagi yang terbaik dalam melakukan pekerjaan. Saya ikhlas bekerja di kilang ini demi keluarga saya. Alhamdulillah, tuhan memudahkan jalan saya. Kini, saya memiliki dua buah rumah dan sebiji kereta. walaupun harganya tidak seberapa, namun ia cukup untuk menjadi tempat berlindung keluarga kami. Bagi saya, semua hasil titik peluh kita pasti akan terlihat jika kita sering memberikan yang terbaik dalam apa jua yang kita lakukan.
Roslina