Taufiq Azhar

Penghargaan; Appreciation.

Apakah kerana masa lalu begitu menggugat akalku sehingga tiap-tiap tahun pun tetap menjadi sejarah. Apakah kerana hujan turun begitu lebat sehingga tiap-tiap masa pun aku lencun disiram kenangan. Atau apakah hidup memang begini? Dramatik tapi stimulat bagai koken. Absolut tapi mabuk bagai vodka. Subjektif & kepeningan bagai bir. Lembut menggiur tapi tegas bagai takdir.

Aku Topek. 21 tahun. Kini Petaling Jaya kembali menjadi rumahku. Tempat beradu dan tempat menulis. Tempat menimba ilmu dan menimba peluh menguruskan syarikat penerbitan dari rumah. Hidup aku masih sederhana. Tiada apa yang berubah. Ada perempuan-perempuan di luar mengetuk pintu mahukan aku tapi aku terpaksa menolak kerana bar-bar cokelat sudah habis dalam peti ais. Pantang lelaki tiada buah tangan. Pantang perempuan tiada suapan. Hidup aku masih begini, sederhana dan kekal sederhana. Kerana jika dunia ini dibenarkan berputar laju, kita pasti akan maut terpelanting dek kerana putaran buasnya. Jadi, aku memilih untuk terus berjalan kerana segala cerita di sini hanya terhenti bila aku mati.

Yang telah hilang datang lagi ke hidupku. Yang telah pergi singgah lagi ke hidupku. Bar-bar cokelat sudah habis. Tiada apa lagi yang aku boleh hidangkan kepada semua tetamu kecuali penghargaan; APPRECIATION
Taufiq Azhar