Zaitun Abdul Kadir

Kesakitannya adalah kesakitan kami sekeluarga.

Saya adalah seorang ibu bekerja sendiri dan mempunyai 5 orang anak. Kehidupan kami sekeluarga sangat bahagia dan normal sepeti keluarga biasa....sehinggalah apabila anak lelaki saya yang pada masa itu berumur 15 tahun menalipon saya memberitahu dia sakit dan demam. Anak saya meminta saya mengambilnya di asrama. Saya tak merasakan apa-apa yang mencurigakan dan membawanya ke klinik biasa, tetapi kemudian kami dirujukkan ke doktor pakar kerana tekanan darah anak saya terlalu tinggi, dan menimbulkan tandatanya doktor. Setelah pemeriksaan MRI anak saya disahkan mengalami masalah buah pinggang yang serius dan memerlukan dia menjalani dialiasis. Di situlah bermulanya episod kesedihan dan sangat meruntun hati kami sekeluarga. Hilang rasanya segala keceriaan dan kebahagiaan yang kami kecapi. Kesakitannya adalah kesakitan kami sekeluarga. Kami merasai segala keperitan anak saya yang perlu menjalani dialiasis selama 3 kali seminggu. Betullah kata-kata yang menyebut bahawa kita keluarga ibarat satu badan, cubit kaki kiri kaki kanan juga terasa sakitnya. Hospital kemudiannya menjadi kawan karib kami sekeluarga.

Tetapi Allah itu maha pengasih dan penyayang. Kami kemudian di beritahu bahawa di Hospital Kuala Lumpur ada rawatan buah pinggang dan boleh menjalankan rawatan menggantikan buah pinggang jika ada penderma. Saya pun dengan segeranya tanpa berfikir panjang dan dengan rela hati mendaftar untuk mendermakan sebiji buah pinggang saya kepada anak saya. Setahun menunggu untuk 'Kidney Transplant' itu terlalu lama bagi saya. Sesiapa saja yang telah menjadi ibu saya rasa tahu perasaan saya. Mana ada ibu yang mahu melihat anaknya sakit hatta nyamuk pun tak boleh dekat pun dengan anak kita. Tiba tarikh yang di tetapkan maka kami pun menjalankan pembedahan pemindahan buah pinggang saya kepada anak saya. Dan Alhamdulillah pemindahan itu berjaya dengan bantuan doktor-doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur. Terima kasih kepada Dr Murali, Datuk Ghazali, Dr Maznah dan ramai lagi doktor di HKL. Terima kasih banyak.

Sekarang anak saya dan saya menjalankan kehidupuan seperti biasa semula. Saya merayu kepada sesiapa yang membaca artikel saya ini untuk sentiasa menjaga kesihatan kerana wang ringgit tak dapat membeli kesihatan kita. Dan kepada sesiapa yang sihat silalah menjadi salah seorang yang mendaftar untuk mendermakan organ mereka. Ramai sangat yang memerlukan organ seperti buah pinggang di Malaysia ini. Anda sebenarnya dapat membantu orang lain untuk menyambung kehidupan mereka dengan pendermaan organ. Anda akan rasa sangat bahagia melihat orang lain bahagia, sama seperti saya sekarang.
Zaitun Abdul Kadir